fb fb fb fb fb

Letusan Gunung Ruang: Sarawak gesa tambahan penerbangan untuk penumpang terkandas

Ribuan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) susulan keputusan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air membatalkan semua penerbangan di antara Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia wilayah Sulawesi Utara / BERNAMA

KUCHING, 20 April- Susulan kejadian bentukan awan abu di ruang udara Sarawak akibat letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia, kerajaan negeri menggesa syarikat penerbangan untuk menyediakan penerbangan tambahan atau pesawat yang lebih besar bagi memastikan penumpang yang terkandas dapat kembali ke destinasi masing-masing.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin dalam kenyataan medianya hari ini memaklumkan langkah itu penting kerana terdapat ramai penumpang terjejas yang masih menunggu penerbangan dijadualkan semula.

“Kementerian percaya terdapat ramai penumpang yang menunggu penerbangan yang dijadualkan semula, manakala kebanyakan jadual penerbangan sedia ada sudah penuh ditempah kerana musim perayaan,” katanya.

"Penumpang yang terjejas juga diingatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk maklumat terkini dan bantuan,"katanya.

Datuk Sri Lee menegaskan Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Malaysia akan terus memantau keadaan dengan terperinci serta terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang dijaga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE