fb fb fb fb fb

Letusan Gunung Ruang: Malaysia Airlines tawar perubahan atau bayaran balik

Malaysia Airlines menawarkan pelanggan yang terjejas perubahan sekali sahaja pada jadual perjalanan mereka secara percuma atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira jenis tambang mereka susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 18 April - Malaysia Airlines menawarkan pelanggan yang terjejas perubahan sekali sahaja pada jadual perjalanan mereka secara percuma atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira jenis tambang mereka susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Malaysia Aviation Group (MAG) berkata pelanggan terjejas yang ingin menukar penerbangan atau membatalkan perjalanan mereka boleh berbuat demikian melalui 'My Booking' di laman webnya.

“Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi sokongan secara Sembang Langsung kami yang tersedia di tapak web atau memanggil Pusat Hubungan Global kami,” kata MAG menerusi kenyataan.

Pada masa yang sama, penumpang digesa untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines bagi menerima kemas kini dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS.

Awal hari ini, Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk beberapa destinasi di Sabah dan Sarawak berikutan letusan gunung berapi Gunung Ruang.

Syarikat penerbangan negara itu memberitahu 11 daripada penerbangan yang dibatalkan adalah dari dan ke Sabah termasuk lapan penerbangan membabitkan Sarawak.

“Ini telah menyebabkan gangguan yang tidak dapat dielakkan dalam jadual penerbangan kami selain merencatkan pelan perjalanan untuk kebanyakan pelanggan kami.

“Walaupun kami memahami kesulitan yang ditimbulkan ini, keselamatan penumpang dan anak kapal kami tetap menjadi keutamaan kami,” kata MAG.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN