KUALA LUMPUR, 25 Mac- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan sesi libat urus bersama tiga buah syarikat penyedia perkhidmatan iaitu X, Meta dan Google.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ini bagi memastikan syarikat itu mendapat Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum dikenakan tindakan undang-undang.
"X, mereka menyatakan bahawa pengguna Malaysia di platform mereka kurang daripada 8 juta orang. Oleh sebab itu, dalam padangan mereka, mereka tidak memenuhi keperluan untuk memohon lesen daripada MCMC.
"Oleh sebab itu, MCMC sedang menjalankan survey untuk memastikan bahawa sama ada ikut data kami, dalam pandangan kami, sama ada X mempunyai pengguna yang lebih daripada 8 juta dan proses untuk buat survey dijangka akan siap pada suku ketiga tahun ini.
"Selain daripada itu, MCMC juga buat engage dengan Meta dan Google, tiada satu tarikh akhir untuk mereka dapatkan lesen kerana apabila kita nyatakan tarikh akhir itu, kami memang akan melaksanakan. Beberapa tindakan boleh diambil oleh MCMC, sekiranya mereka masih tidak mendapatkan lesen", katanya di Dewan Negara.
Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, selain meningkatkan perlindungan pengguna khususnya kepada kanak-kanak.