Lenggong bakal diiktiraf UNESCO Global Geopark, tarik pelancongan & pemuliharaan

Pengiktirafan dijangka memberi impak besar kepada pembangunan pelancongan dan pemuliharaan warisan di negeri Perak serta negara

LENGGONG, 19 Mac – Pengiktirafan UNESCO terhadap Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark dijangka diumumkan secara rasmi di Paris pada Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan dijangka memberi impak besar kepada pembangunan pelancongan dan pemuliharaan warisan di Perak serta negara.
  • NCIA peruntuk RM22 juta untuk menaik taraf kemudahan bertaraf antarabangsa di enam lokasi utama.
  • Pengiktirafan dijangka memperkukuh usaha memelihara 39 geotapak sedia ada serta sembilan geotapak bertaraf antarabangsa.

Majlis penyerahan perakuan pula dijadual berlangsung pada September, selepas kelulusan dibuat tahun lalu di Temuco, Chile.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, pengiktirafan tersebut dijangka memberi impak besar kepada pembangunan pelancongan dan pemuliharaan warisan di negeri Perak serta negara.

“Lenggong merupakan kawasan ketiga, selepas Langkawi, Gunung Kinabalu, dan Delta Sarawak, yang menerima pengiktirafan ini. Diharapkan pengiktirafan tersebut akan memperkukuh usaha-usaha memelihara 39 geotapak yang sedia ada serta sembilan geotapak bertaraf antarabangsa.”, katanya.

Bagi menyokong pembangunan itu, sebanyak RM22 juta diperuntukkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di bawah Kementerian Kewangan untuk menaik taraf kemudahan bertaraf antarabangsa di enam lokasi utama.

Selain itu, pelbagai program bertaraf antarabangsa turut dirancang termasuk pelancaran Lawatan Akademik pada 2 April serta pemeteraian memorandum persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark.

Dalam perkembangan sama, perancangan turut dibuat bagi majlis pemasyhuran pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang diharap mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau ditemui pada Pesta Bakar Lemang dan Panjut Lembah Lenggong di Dataran Tasek Sandarhulu, Kampung Luat, Lenggong.