GEORGE TOWN, 14 Januari - Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang memohon jasa baik Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kelonggaran dalam sambutan Thaipusam kali ini.
Pengerusinya Dr P.Ramasamy berkata, beliau akan mengemukakan rayuan tersebut kepada MKN hari ini.
Antaranya ialah membenarkan 3,000 penganut pada satu-satu masa untuk berada dalam kuil di Waterfall, Pulau Pinang dan kebenaran membuka kuil dari pukul 5 pagi hingga 11 malam pada hari seterusnya.
Selain itu Dr P.Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri 2 berkata, pihaknya berharap kelonggaran akan diberikan kepada mereka yang berumur 18 tahun keatas untuk menyertai sambutan Thaipusam.
Sebelum ini Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, semua cadangan dan permintaan itu dibentangkan kepada kementeriannya menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa negeri.
Beliau berkata semua cadangan itu seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk pertimbangan dan kelulusan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada jangkitan pandemik itu.
Semalam, Datuk Halimah mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sambutan perayaan itu, antaranya menetapkan hanya upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.