KUCHING, 30 Mac- Resipi asli keluarga yang diwarisi sejak tiga generasi terus menjadi daya tarikan utama Lemang Warisan Sungai Lajim di Kampung Nombor 5, Satok.
Menurut pengusahanya, Reduan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Wen, beliau memerlukan sehingga 22 tenaga kerja bagi menyediakan kira-kira 4,000 batang lemang setiap hari bermula hari ini sehingga beberapa hari selepas Aidilfitri.
Buat masa ini, tempahan hanya dibuka kepada pelanggan tetap, manakala selebihnya akan dijual secara langsung bermula jam 1 tengah hari hingga malam.
Meskipun berdepan dengan kenaikan harga barang, terutamanya santan, harga lemang tetap dikekalkan pada RM12 sebatang.
"Cabaran tahun ini, santan agak susah didapati. Kami perlu membuat persediaan lebih awal, sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perayaan, dengan membayar deposit kepada pembekal santan. Jika tidak, sukar untuk mendapatkan bekalan," kata Reduan.
Beliau yang ditemui RTM turut berkongsi bahawa perniagaan ini telah diusahakan selama 24 tahun sebagai generasi ketiga, mengekalkan resipi asli lemang pandan yang menjadi identiti keluarganya.
Bagi memenuhi permintaan tinggi, mereka menggunakan tiga dapur khas untuk memasak lemang secara serentak. Selain itu, Reduan juga mengusahakan jualan sate di lokasi yang sama.