fb fb fb fb fb

Lelaki peluk Islam selepas hampir nyaris jadi korban tanah jerlus

Haridath (tengah) melafazkan dua kalimah syahadah pada Isnin lalu/Foto ihsan ABIM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesahkan seorang lelaki memeluk Islam selepas insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu.

Lelaki yang dikenali sebagai Haridath itu mengucap dua kalimah syahadah di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara pada Isnin lalu.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bagaimanapun memohon agar semua pihak memberi ruang untuk saudara baru itu bertenang, menghormati privasinya, dan mendoakan kebaikannya.

“ABIM maklum akan berita dan maklumat yang tular dalam beberapa platform media sosial khususnya WhatsApp berkenaan pengislaman seorang saudara baru di IOA Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tragedi tanah jerlus di Masjid India.

"Abim mengesahkan bahawa saudara baru tersebut memeluk Islam di bawah kelolaan IOA Masjid Negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.

ABIM menegaskan agama adalah hak dan fitrah semula jadi manusia.

"Sudah semestinya tidak siapa pun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama," katanya.

ABIM menyeru umat Islam menyebarkan keindahan Islam serta meningkatkan keimanan dan ketaqwaan.

ABIM juga mendoakan operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India dipermudahkan.

Sejak awal pagi tadi, tular di media sosial mendakwa bahawa seorang lelaki yang kononnya berada berhampiran dengan wanita warga India yang terjatuh dan hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India, telah memeluk Islam.

Menurut dakwaan tersebut, lelaki itu berada di belakang wanita berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Hantaran yang tular itu tidak meletakkan nama sumber mendakwa ‘pengislaman' Haridath dilakukan dalam Bahasa Inggeris.

Haridath memilih nama baharunya Harizan.

GRACE AISYAH KEDAYAN