fb fb fb fb fb

Lelaki parah dipijak gajah di Gerik

Foto BERNAMA

IPOH, 12 April- Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak gajah di Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff berkata mangsa berusia 55 tahun dari Bersia mengalami patah kaki dan tulang rusuk dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 malam itu.

Beliau berkata mangsa diserang gajah ketika berhenti di lokasi berkenaan untuk membuang air.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusoff berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak berhenti di tepi laluan JRTB kerana kawasan sekitar yang berhutan dan gelap pada waktu malam. 

"Orang ramai perlu mengambil perhatian papan tanda yang telah diletakkan memaklumkan kawasan di sekitar berkenaan merupakan tempat berkeliaran dan lintasan gajah," katanya.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM