(Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan Jalan Bentong-Raub
dekat Felda Lurah Bilut pada Sabtu/FB Bomba & Penyelamat Negeri Pahang)
BENTONG, 15 Januari- Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam kereta susulan kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Bentong-Raub dekat Lurah Bilut di sini pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 6.37 petang dan seramai enam anggota serta seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Terdapat satu lelaki dewasa tersepit dalam Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lelaki dari kenderaan sama cedera.
"Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
"Pemandu lori pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan.
Ujar beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dihantar ke Hospital Raub dengan menaiki ambulans KKM.
(Foto FB Bomba & Penyelamat Negeri Pahang)