JELUTONG, 9 Jun- Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta yang terbabas dan melanggar sebuah jentera "Back Hoe" di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu Bukit Dumbar, Jelutung awal pagi tadi.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Perak, Mohd Fadli Omar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 4:16 pagi.
Seorang lelaki berusia 28 tahun tersepit di ruang penumpang belakang dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Mangsa berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Perak dan Bayan Baru dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, dua lelaki yang cedera ringan menerima rawatan di tempat kejadian dan seorang lagi mangsa dihantar ke hospital menggunakan Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).