KOTA TINGGI, 24 Januari - Seorang lelaki maut manakala bapanya cedera selepas lori dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di kilometer 61.7 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, Johor pada pukul 11.30 pagi semalam.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang pemandu lori lelaki berumur 50 tahun bersama-sama anaknya cuba mengelak sebuah lori lain dari arah bertentangan namun terbabas dan jatuh ke dalam gaung.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, muatan batu daripada lori yang dinaiki mereka terpelanting dan mengenai sebuah kereta, di lokasi kejadian.
Mangsa berusia 23 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, akibat cedera parah di bahagian kepala.
Manakala bapanya mengalami cedera ringan iaitu bengkak di bahagian muka dan kepala sementara pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.