Lelaki maut, kereta terjunam di Sungai Gadut

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam kenderaan selepas terjunam ke dalam Sungai Gadut berhampiran Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) pada pukul 6.40 petang

SEREMBAN, 17 Februari Seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandunya dipercayai terjunam ke dalam sungai berhampiran Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sungai Gadut, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki 25 tahun ditemui maut selepas kereta dipercayai terjunam ke Sungai Gadut berhampiran SDAR.
  • JBPM Negeri Sembilan menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.00 petang dan tiba dalam kira-kira 11 minit.
  • Operasi melibatkan 13 anggota PKO, dua FRT dan sebuah RRV, mayat dikeluarkan pada pukul 6.40 petang.
  • Mayat dikenal pasti lelaki berbangsa Cina dan diserahkan kepada PDRM; punca kejadian masih disiasat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.00 petang sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.

“Operasi melibatkan bantuan polis bagi mengangkat mayat selepas sebuah kereta jenis Toyota Yaris ditemui berada di dalam sungai berkenaan.

“Seramai 13 anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) daripada Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dan Rantau digerakkan ke lokasi dengan sokongan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Rapid Response Vehicle (RRV),” menurut kenyataan itu.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam kenderaan pada pukul 6.40 petang. Mangsa dikenal pasti sebagai lelaki berbangsa Cina sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai PBK II (TBK I) Rosli Mohamed, dibantu Komander Operasi Kanan PKPgB, Mohd Fadhli Shamsudin serta PBKI Edsamara Omar dan PBKI Afizan Omar. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.