Lelaki maut kereta terhumban dalam parit

Kemalangan di Jalan Penrissen, Batu 8, Kuching menyebabkan seorang lelaki maut

KUCHING, 18 Januari – Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Penrissen, Batu 8, di sini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki maut selepas kenderaan terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Penrissen, Batu 8.
  • Insiden berlaku malam tadi; panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.35 malam.
  • Seorang lagi penumpang, 23 tahun, cedera parah dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.
  • Mayat diserahkan kepada polis dan punca kemalangan masih dalam siasatan; operasi tamat pada 1.10 pagi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.35 malam.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis hatchback yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam paritm” menurut kenyataan itu.

Mangsa Bong Bing Wen, 51 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak ambulans manakala seorang lagi mangsa Daniel Tan Kwan Chuan, 23 tahun, didapati masih sedar namun mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kemalangan masih dalam siasatan. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.10 pagi tadi.