GUA MUSANG, 20 Jun - Seorang pemuda maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar pokok di Felda Aring 10, di sini semalam.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.50 petang itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Izzat Dunya, 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Aring 1 menuju ke tempat kerja di Felda Aring 10.
"Mangsa telah meninggal dunia di lokasi kemalangan dan telah berjaya dikeluarkan pihak Bomba kerana tersepit. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menyalurkan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Gua Musang menerusi talian 09-9121222.