KUALA NERUS, 14 Mac- Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang di Jalan Alor Jambu, di sini, kira-kira pukul 9.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata dalam kejadian itu, mangsa, Muhamad Ali, 48, dalam perjalanan dari rumahnya di Padang Kemunting menuju ke Padang Nenas.
Menurut Azli, kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan, manakala pemandu kereta yang berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.