fb fb fb fb fb

Lelaki maut dalam kebakaran rumah di Labuan

Foto RTM

LABUAN, 24 Mac- Seorang lelaki berusia 53 tahun maut dalam kebakaran di Kampung Lubok Temiang, Simpang Mat Isa, awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, insiden melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 30 kali 20 kaki persegi yang musnah terbakar dalam insiden itu.

"Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 2.20 pagi. Seramai 21 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sekitar lapan minit kemudian.

"Setiba Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri berada di luar rumah yang terbakar.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Labuan. Operasi berjaya dikawal sekitar pukul 3.00 pagi," menurut kenyataan tersebut.

Menurut saksi, beliau terdengar bunyi letupan sebelum kebakaran berlaku.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM