KOTA TINGGI, 10 April - Seorang lelaki berumur 25 tahun lemas di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor pada pukul 10:13 pagi tadi, ketika mandi di pantai tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendent Hussin Zamora memaklumkan mangsa sebelum itu berkhemah semalaman di pantai tersebut, sebelum ahli keluarga menyedari mangsa hilang ketika mandi laut.
"Mayat mangsa ditemui pada pukul 11:10 pagi, pada jarak sepuluh meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Hussin, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor dengan menggunakan Teknik Pencarian Permukaan.
Seramai Sembilan anggota JBPM Johor, bersama dua anggota Menara Keselamatan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah digerakkan ke lokasi kejadian.