fb fb fb fb fb

Lelaki langgar polis ketika elak SJR direman

FOTO RTM

KEMAMAN, 15 Januari- Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kejadian melanggar seorang anggota polis ketika cuba mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Bandar Chukai, Kemaman Terengganu, petang semalam.
 
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.
 
Suspek yang bekerja sebagai seorang pembantu kedai berusia 26 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kemaman kira-kira pukul 8.40 pagi tadi dengan diiringi polis.
 
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pada kejadian kira-kira pukul 6.20 petang semalam, seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera selepas dilanggar suspek yang ketika itu menunggang motosikal dalam satu sekatan jalan (SJR).
 
Ketika kejadian, suspek dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan laju ketika anggota polis berkenaan cuba menahannya untuk diperiksa dan menyebabkan tangan mangsa mengalami kecederaan.
 
Tambah Hanyan, lima lagi anggota polis lain yang turut berada di lokasi SJR itu bertindak pantas dan berjaya menahan suspek.
 
Menurut Superintenden Hanyan, pemeriksaan awal mendapati motosikal ditunggang suspek telah tamat tempoh cukai jalan dan turut melakukan pengubahsuialan yang menyalahi spesifikasi dibenarkan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD