Lelaki hilang perahu terbalik di Sungai Batang Rajang ditemukan maut

BBP KAPIT

KAPIT, 15 Mac – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya terbalik di Sungai Batang Rajang di sini ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenali sebagai Brando Jawi Mamba, 21 tahun, ditemukan orang awam kira-kira pukul 7.06 pagi berhampiran jeti Terminal ke Belaga.
  • Mayat diangkat oleh pasukan bomba pada pukul 7.30 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
  • Perahu kayu terbalik selepas dipukul ombak besar dipercayai akibat kapal tunda yang melintasi kawasan.
  • Operasi SAR melibatkan JBPM, PDRM dan APM dengan pencarian permukaan; empat rakan terselamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timothy Barat berkata mangsa dikenali sebagai Brando Jawi Mamba, 21 tahun, ditemukan orang awam kira-kira pukul 7.06 pagi berhampiran jeti Terminal ke Belaga di hadapan Kapit Town Square.

Menurut beliau, pihak BBP Kapit menerima maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penemuan mangsa sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa berjaya diangkat oleh pasukan bomba pada pukul 7.30 pagi sebelum dibawa ke Jeti Kubu dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas mangsa dilaporkan hilang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 7 malam di Sungai Batang Rajang, kawasan Pantu, kira-kira 1.5 kilometer dari Jeti Kubu.

Mangsa bersama empat rakannya dipercayai menaiki sebuah perahu kayu dalam perjalanan pulang selepas mandi di sungai sebelum perahu berkenaan terbalik akibat dipukul ombak besar yang dipercayai berpunca daripada sebuah kapal tunda yang melalui kawasan tersebut.

Empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

Operasi SAR melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.