
SARIKEI, 19 Februari -Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai tenggelam ketika memukat udang di kawasan pantai Kampung Tepi Laut, Belawai, petang semalam (Rabu).
- Pencarian dan penyelamatan digerakkan segera melibatkan polis, bomba, APM, penduduk kampung, 61 orang dan 19 bot.
- Operasi fokus dalam radius tiga kilometer dari lokasi terakhir serta sepanjang Pantai Kampung Tepi Laut Belawai.
- Orang ramai diminta hubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Rafiee Berawi di 016-5227983 jika ada maklumat.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitenden Aswandy Anis, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.21 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
“Mangsa dikenali sebagai Sabaruddin Awg Kamarudin, 48 tahun, berusia 48, merupakan seorang nelayan tempatan dari Kampung Tepi Laut, Belawai”, katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan siasatan awal, saksi awam memaklumkan mangsa dilihat tiba-tiba tenggelam dan terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum hilang dari permukaan air.
Susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat SAR) telah dilakukan oleh pihak polis beserta pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dibantu penduduk kampung seramai 61 orang dan 19 bot,” ujarnya.
Jelas beliau, operasi pencarian tertumpu dalam radius tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang serta sepanjang Pantai Kampung Tepi Laut Belawai.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Rafiee Berawi di talian 016-5227983.