Lelaki hilang dipercayai dibaham buaya di Sadong Jaya

Foto FB Balai Bomba Penyelamat Asajaya

SAMARAHAN, 17 Februari – Operasi mengesan seorang nelayan sungai, Mohd Faizal Abdilah yang hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Buloh, Sadong Jaya, di sini hari ini masih belum membuahkan hasil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi tertumpu di kawasan terakhir mangsa dikatakan disambar buaya.
  • Dua ekor buaya sepanjang kira-kira lapan kaki dikesan timbul, menyekat operasi selaman.
  • Pencarian diperluaskan ke kawasan seluas dua kilometer persegi.
  • Operasi ditangguhkan petang ini dan disambung semula awal pagi esok.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya, Abang Othman Abang Sharbini, operasi ketika ini masih tertumpu di kawasan terakhir mangsa dikatakan disambar buaya.

Pihaknya juga terjumpa kelibat dua ekor buaya dianggarkan sepanjang lapan kaki yang timbul di sekitar kawasan itu dan akibat situasi tersebut, sebarang operasi selaman tidak dapat dilakukan.

“Operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan ke dua kilometer persegi,” jelas beliau ketika dihubungi RTM, petang tadi.

Operasi ditangguhkan petang tadi dan akan disambung semula awal pagi esok.

Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengahari tadi, mangsa dikatakan sedang menjala ikan di tebing sungai bersama rakannya sebelum dibaham buaya.