fb fb fb fb fb

Lelaki ditemukan rentung di Jalan Baru Renggam-Ulu Belitong

Sepasukan enam anggota dari BBP Renggam mendapati kereta sedang terbakar 95 peratus ketika mereka tiba di tempat kejadian.

KLUANG, 7 April- Seorang lelaki ditemui rentung selepas kereta Proton Saga dinaikinya terbakar di Jalan Baru Renggam-Ulu Belitong, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata mangsa dikenali sebagai Shahrizan Jum, 34 ditemukan dalam keadaan kerusi dibaringkan dalam kejadian yang dilaporkan kepada bomba pada pukul 1.04 pagi itu.

Beliau berkata keluarga lelaki berkenaan memberitahu, mangsa keluar rumah jam 11 malam sebelum itu, namun tidak menyatakan tujuan destinasi.

"Waris memaklumkan, mangsa tidak bekerja, hanya menjaga ibu dan bapa berusia sekitar 66 tahun yang uzur. Siasatan awal polis juga mendapati dia tidak membuat apa-apa pinjaman wang dan tiada permusuhan dengan mana-mana pihak," katanya.
 
Bahrin memaklumkan, mayat dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini untuk bedah siasat.

Sementara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menyiasat punca sebenar kebakaran kereta terbabit.

Sepasukan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Renggam yang dihantar ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 1.04 pagi, mendapati kereta sedang terbakar 95 peratus ketika mereka tiba di tempat insiden berkenaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI