KUALA LUMPUR, 22 April - Mayat seorang lelaki ditemukan di Sungai Lolo di Kem Lolo, Gunung Nuang di Hulu Langat, selepas dilaporkan hilang kerana terjatuh dalam sungai tersebut, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mayat mangsa berusia 36 tahun itu dijumpai pada pukul 1.00 tengah hari, kira-kira empat kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat telah dibawa ke Hospital Ampang.
Terdahulu seramai 24 anggota termasuk 10 malim gunung dan dua renjer perhutanan telah digerakan dalam operasi mencari dan menyelamat lelaki terbabit yang memasuki hari kedua hari ini.
Dalam pada itu, Komander Operasi Saiful Bahrin Samad Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn berkata ketika kejadian, cuaca hujan dan mangsa dipercayai tergelincir semasa menyeberangi sungai terbabit bersama-sama rakannya.
"Namun beliau terjatuh dan dibawa arus. Rakannya kemudian menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.