fb fb fb fb fb

Lelaki dipercayai kurang siuman maut dipukul selepas mengamuk di masjid

KOTA BHARU, 30 Januari- Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditemui meninggal dunia selepas didakwa dipukul oleh sekumpulan lelaki di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, di sini, kira-kira pukul 7.00 malam semalam.

Saksi yang hanya dikenali sebagai Azam memaklumkan, mangsa berusia 20-an itu dikatakan menunaikan solat Asar secara bersendirian dalam keadaan menangis sebelum mengamuk.

"Dia kemudian keluar dan menendang seorang wanita berusia lewat 50-an yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan yang melalui perkarangan masjid terbabit.

Melihat kejadian berkenaan, sekumpulan lelaki membantu wanita itu sehingga berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sebelum dia didapati tidak sedarkan diri," katanya.

(Polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui meninggal dunia
di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, di sini)

Tambah Azam, mangsa sebelum itu mengamuk di sekitar surau Pasar Kota Jembal pada waktu Zuhur dan kemudian bergerak ke masjid berdekatan.

Bagaimanapun tiada laporan polis dibuat memandangkan orang ramai tidak menyangka mangsa akan mencederakan individu lain.

"Mangsa baru pertama kali dilihat berada di kawasan tersebut dan tidak dikenali oleh jemaah atau penduduk setempat.

Dia juga berpakaian seperti orang biasa, namun perlakuannya yang menjerit dan menengking orang ramai menunjukkan bahawa mangsa mungkin mempunyai masalah mental," ujarnya lagi.

Setakat ini polis masih belum mengesahkan berkaitan kejadian berkenaan.

Media Baharu