fb fb fb fb fb

Lelaki dikhuatiri lemas ketika bersihkan kapal di Sungai Terengganu

Operasi SAR Ahmad Nasaruddin Muhamad, 34, yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu/RTM

KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Seorang pekerja lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam muara Sungai Terengganu ketika melakukan kerja-kerja pembersihan kapal di MSET, Pulau Duyong, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata mangsa dikenali sebagai Ahmad Nasaruddin Muhamad, 34, berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.

Operasi melibatkan pencarian di permukaan sungai, selain selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) di lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut membantu operasi pencarian di permukaan sungai, manakala Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM akan digerakkan sebaik sahaja tiba di lokasi.

Seramai 41 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi SAR itu.

SITI AISHAH MD ISA