fb fb fb fb fb

Lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi

FOTO HIASAN

ALOR SETAR, 16 Disember- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan di tengah laut oleh pengunjung di Pantai Tanjung Rhu dekat Langkawi, Kedah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Mohammad Khairie Shaari, 32, merupakan seorang pekerja di sebuah kedai emas di pulau berkenaan.

"Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 6.16 petang yang memaklumkan ternampak kelibat orang sedang terkapai-kapai meminta tolong di tengah laut berhampiran hujung Pantai Tanjung Rhu sebelum dipercayai tenggelam.

"Hasil pemeriksaan awal di sekitar lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Satria yang tidak bertuan dan tidak berkunci serta terdapat barangan peribadi, kunci kereta dan kad pengenalan dipercayai milik mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan 40 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Shariman berkata, operasi itu ditangguhkan pada pukul 10.00 malam tadi dan disambung semula pagi ini.

"Polis telah menghubungi keluarga mangsa dan mengesahkan bahawa mangsa yang menggunakan kereta milik kakaknya itu baru sahaja mula bekerja di Langkawi," katanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA