
IPOH, 27 Februari – Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, tengah malam tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.45 tengah malam.
- Pemeriksaan menerusi CCTV oleh pengurusan empangan mengesan kejadian.
- Bomba membaling pelampung dan mengangkat seorang mangsa ke atas empangan menggunakan sistem tali.
- Operasi SAR diteruskan pagi ini dengan penglibatan Pasukan Penyelamat Di Air JBPM Perak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada pukul 12.45 tengah malam.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun yang tiba di lokasi mendapati kejadian membabitkan dua lelaki, masing-masing berusia 32 dan 34 tahun, dengan seorang dipercayai lemas manakala seorang lagi berada di permukaan air.
Menurut beliau, kejadian dimaklumkan pihak pengurusan empangan selepas pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Pihak bomba kemudian melaksanakan operasi penyelamatan dengan membaling pelampung ke arah mangsa yang berada di permukaan air.
Mangsa berjaya dibawa naik ke kawasan atas empangan berketinggian kira-kira sembilan meter menggunakan sistem tali.
Sehingga kini, seorang lagi mangsa yang tenggelam masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini dengan penglibatan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Perak.