Lelaki cedera kenderaan langgar pokok tumbang

Foto RTM

REMBAU, 20 Februari – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya merempuh pokok tumbang yang melintangi Lebuhraya Utara–Selatan arah selatan di Kilometer 237.2, Rembau, lewat petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki cedera selepas kereta merempuh pokok tumbang melintangi Lebuhraya Utara–Selatan di Rembau.
  • Pasukan bomba Rembau dan Ops Statik Tol Pedas digerakkan selepas panggilan kecemasan pada 6.45 petang.
  • Mangsa diberi rawatan awal oleh bomba dan kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan.
  • Kerja pembersihan melibatkan tujuh anggota, operasi tamat sepenuhnya pada 7.16 malam.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (J-B-P-M) Negeri Sembilan, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.45 petang.

Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bersama Ops Statik Tol Pedas digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira tiga kilometer dari balai.

Operasi menyelamat dan pembersihan diketuai PBK II (TBK) Wan Mohamad Wan Derasik selaku Komander Operasi, dibantu Komander Operasi Kanan, PGB Mohd Hafiz Mohd Shariff.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebatang pokok telah tumbang dan melintangi laluan lebuh raya.

Akibatnya, seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan selepas kereta dipandunya merempuh pokok berkenaan.

Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Kerja pembersihan dijalankan bagi mengalihkan pokok tumbang dengan kekuatan tujuh anggota, sebelum
operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.16 malam.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika memandu, khususnya dalam keadaan cuaca tidak menentu yang berisiko menyebabkan kejadian pokok tumbang.