SEREMBAN, 31 Ogos - Seorang lelaki berusia 52 tahun dibebaskan lebih awal selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Pengarah Penjara Seremban, Muhammad Naim Amir berkata pengampunan berkenaan diputuskan pada Disember tahun lalu dan dilaksanakan sempena Hari Kemerdekaan ke-67 di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, di sini, hari ini.
"Prospek ini dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan dengan 16 waran kesalahan yang dicatatkan, dan tempoh hukuman keseluruhannya adalah 16 tahun, 2 bulan, dan 21 hari," katanya
Bapa kepada tiga anak itu diberi pembebasan dua bulan lebih awal daripada tempoh hukuman sebenar, setelah menjalani hukuman selama 10 tahun di Penjara Bentong dan Penjara Sungai Buloh, sebelum dipindahkan ke PRP Mantin.
"Perasaan saya sangat gembira, terima kasih kepada Agong kerana memberikan pengampunan dan membebaskan saya lebih awal.
"Saya sepatutnya keluar pada 21 Oktober, setelah 10 tahun 9 bulan menjalani hukuman. Saya paling rindu keluarga, terutama ayah dan ibu," katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Teh.
Teh berkongsi pengalaman hidupnya, menyesali keterlibatannya dalam jenayah rompakan dan samun akibat terpengaruh oleh rakan-rakan.
“Ketika saya dipenjarakan, anak-anak masih kecil. Saya sangat merindui mereka. Kini, saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk berjumpa dengan ibu bapa, isteri, dan anak-anak, serta menjaga mereka dengan sebaik-baiknya," katanya.