fb fb fb fb fb

Tersepit pintu, pekerja penyelenggara lif maut

Foto Ihsan JBPM

GEORGE TOWN, 26 Disember- Seorang pekerja penyelenggara lif, maut selepas kepalanya tersepit di pintu lif di sebuah pusat beli-belah di Jalan Burmah, George Town, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai R. Tinesh Kumar, 28 tahun pada ketika itu sedang membaiki lif bersama seorang lagi rakannya, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata pihaknya mendapati kepala seorang pekerja telah tersepit pada pintu lif manakala seorang lagi terperangkap di dalamnya.

Menurut beliau, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.45 petang.

"Kecederaan yang terdapat pada mangsa adalah di bahagian kepala, leher mangsa boleh dikatakan hampir putus dan pecah di bahagian kepala."

Anggota bomba mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk keluarkan mangsa dari lokasi tragedi," kata Ahmad Rezki kepada pemberita di lokasi kejadian.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.56 petang.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM