fb fb fb fb fb

Lebih separuh peserta Klinik Berhenti Merokok berjaya bebas rokok

Foto hiasan

PETALING JAYA, 6 September- Program Klinik Berhenti Merokok menunjukkan keberkesanan apabila 4,916 daripada 8,659 peserta di seluruh negara bebas daripada tabiat merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu diperoleh hasil komitmen tinggi peserta yang menetapkan sendiri tarikh berhenti merokok selepas mengikuti rawatan.

“Klien yang menetapkan tarikh berhenti merokok biasanya lebih berdisiplin dan mempunyai peluang lebih tinggi untuk berjaya. Kita berharap mereka kekal bebas rokok tanpa mengulangi tabiat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Live, Laugh, Lungs sempena sambutan Hari Paru-Paru Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly turut menjelaskan, kelulusan Terapi Gantian Nikotin (NRT) sebagai produk over-the-counter (OTC) memudahkan akses kepada rawatan berhenti merokok, sekali gus meningkatkan kadar kejayaan dalam kalangan perokok.

“Salah satu intervensi utama dalam program berhenti merokok kebangsaan ialah NRT, termasuk gula-gula getah yang kini boleh didapati di farmasi tanpa preskripsi.

Berdasarkan Laporan Advancing Smoking Cessation in ASEAN: The Role of Nicotine Replacement Therapy 2025 oleh Social and Economic Research Initiative (SERI), 77 peratus perokok berkemungkinan menggunakan NRT jika ia dikategorikan sebagai OTC. Ini menunjukkan akses kepada NRT amat penting untuk meningkatkan peluang kejayaan,” katanya.

Mengulas mengenai penyakit paru-paru di Malaysia, beliau berkata beban penyakit meliputi penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

"Ini termasuk kanser paru-paru, Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD), asma dan jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia, tuberkulosis, COVID-19 dan influenza.

Tuberkulosis masih salah satu penyakit dengan beban yang tinggi di Malaysia iaitu sebanyak 26,183 kes baharu dilaporkan pada tahun 2024," katanya.

Beliau menjelaskan, hampir setengah juta kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun di Malaysia menghidap asma dan lebih daripada 1.4 juta orang dewasa telah didiagnosis dengan asma.

Kanser paru-paru pula, katanya adalah kanser kedua paling utama dalam kalangan lelaki dan ketiga dalam kalangan wanita serta merupakan antara tiga kanser paling utama di Malaysia.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN