fb fb fb fb fb

Lebih RM3.153 juta pembayaran faedah PERKESO diterima pencarum di Perlis tahun lalu

FOTO PERKESO PERLIS

KANGAR, 12 Mac- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perlis telah membuat pembayaran faedah berjumlah lebih RM3.153 juta kepada pencarum yang layak sepanjang tahun 2023.

Jumlah berkenaan meningkat berbanding RM2.578 juta sepanjang tahun 2022.

Pengarah PERKESO Negeri, Ahmad Firdaus Hashim menerusi satu kenyataan memaklumkan, pembayaran berkenaan melibatkan pelbagai kategori iaitu Faedah Hilang Upaya Sementara dan Kekal, Faedah Pengurusan Mayat, Penakat, Ilat dan Faedah Orang Tanggungan.

Beliau berkata, dalam melindungi pekerja daripada sebarang musibah ketika melaksanakan sesuatu pekerjaan, seseorang itu perlu mencarum dalam mana-mana skim caruman disediakan PERKESO menerusi majikan atau secara sukarela.

"Bagi yang bekerja sendiri, digalakkan mencarum bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang melibatkan 20 sektor, manakala bagi suri rumah boleh memilih Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah,"katanya.

Sepanjang tahun 2023, seramai 6,540 individu telah mendaftar bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), berbanding hanya 5,871 individu sepanjang 2022.

Manakala bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, seramai 2,353 suri rumah telah mendaftar sepanjang tahun 2023, di mana lebih RM20,000 faedah telah dibayar kepada pencarum SKSSR berkenaan.

Beliau memaklumkannya pada Program Seranta dan Inisiatif Baharu PERKESO Peringkat Negeri serta Penyampaian Cek Faedah Kepada Orang Berinsurans di Kangar yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohammed Anuar.

Program yang turut dihadiri ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling ini bagi memberi penerangan kepada peserta terdiri majikan dan pemegang taruh di Perlis berkaitan fungsi dan peranan PERKESO serta inisiatif baharu bawah Belanjawan 2024.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE