fb fb fb fb fb

Lebih RM127 juta Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas merasmikan kedai serbaneka RisSMart24 serta melancarkan Syiling Peringatan Jubli Emas RISDA di UOA Business Park Glenmarie

SHAH ALAM, 2 Disember - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM127 juta sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dalam usaha membantu pekebun kecil getah di seluruh negara yang terkesan pada tahun ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, peruntukan itu disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) yang dibayar dua kali sebanyak RM400 setiap keluarga bermula November dan Disember.

"Bantuan itu antara lain bagi membantu pekebun kecil terjejas banjir," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas merasmikan kedai serbaneka RisSMart24 serta melancarkan Syiling Peringatan Jubli Emas RISDA di UOA Business Park Glenmarie hari ini.

Beliau berkata, bantuan itu melibatkan 318,642 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan rakyat Pahang dan Johor agar sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan banjir.

Katanya, rakyat di dua negeri itu perlu mematuhi amaran yang diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Saya memohon kepada kawasan rendah di Pahang dan Johor harus bersiap siaga kerana amaran yang diberikan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) ini harus dipatuhi. Kita mahu di kawasan dan juga keluarga di kawasan rendah apabila diberikan amaran berpindah mengikut unjuran MetMalaysia arahan itu perlu dipatuhi.

"Jangan berpindah pada saat yang apabila air meningkat dengan mendadak dan ini dikhuatiri akan menyebabkan ada dalam kalangan keluarga kita yang menemui kematian," kata Ahmad Zahid lagi.

Jelas beliau, bagi keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu ketika ini, dijangka jumlah penduduk terjejas banjir akan berkurangan pada akhir minggu ini.

Ahmad Zahid berkata, selain itu, dijangka 20 hingga 25 peratus penduduk terjejas banjir di kawasan terbabit yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) akan pulang ke kediaman masing-masing.

TETITIA YUSOFF