fb fb fb fb fb

Lebih ramai wanita disasar ceburi bidang TVET

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto Bernama

DURIAN TUNGGAL, 4 Disember – Pelbagai langkah sedang dilaksanakan Jawatankuasa Majlis TVET Negara bagi menarik lebih ramai wanita menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata hanya 30 peratus wanita terlibat dalam sektor tersebut pada masa ini.

“Kita mempunyai rancangan jangka masa panjang dengan kerjasama 1,398 institusi TVET dan enam universiti teknikal.

"Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui platform UpTVET, yang menawarkan lebih 5,000 kursus berbeza. Saya berharap ini mampu memenuhi keperluan tenaga kerja pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program JELITA@KPT SUMMIT 2024 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan tiga institusi TVET di Kelantan antara yang terjejas akibat banjir.

Institusi berkenaan iaitu Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas, GiatMara Pasir Mas, dan GiatMara Tumpat.

Menurutnya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk penduduk terjejas banjir.

“Kita akan segera memperbaiki kerosakan di institusi-institusi yang terjejas, termasuk yang di Kuala Terengganu,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, langkah segera sedang dirancang untuk memastikan institusi TVET yang terjejas dapat kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN