(Anthony Loke)
PUTRAJAYA, 2 Ogos- Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) akan dibangunkan semula bagi menampung peningkatan jumlah penumpang dan aliran trafik di hab pengangkutan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, naik taraf stesen tersebut penting kerana ia sudah mencecah kapasiti 200,000 penumpang iaitu melebihi kapasiti sebenar sekitar 100,00 penumpang.
Pembangunan semula itu membabitkan kerjasama dengan pihak swasta iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang juga pemaju keseluruhan projek KL Sentral.
"Projek akan melibatkan satu penswastaan iaitu tidak melibatkan implikasi kos kewangan kepada kerajaan. Pembangunan semula stesen itu dijangka akan melebihi kos RM1 bilion dan ditanggung oleh MRCB," katanya pada sidang media di sini.
Loke berkata, projek komersial lain hanya akan dibangunkan setelah projek bina semula stesen itu disiapkan terlebih dahulu sebelum projek komersial lain dimulakan
"Secara pulangannya, MRCB akan mendapat hak untuk membangunkan kawasan di atas stesen tersebut," katanya.
Kerajaan sudah bersetuju secara prinsip, namun ia masih tertakluk kepada perbincangan lanjut antara Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan MRCB.
Pihaknya memberi tempoh maksimum dua tahun untuk perbincangan antara kedua-dua pihak, selain berharap ia dapat dimuktamadkan lebih awal supaya pembangunan semula hab pengangkutan terbabit dapat dipercepatkan.
(Foto hiasan)