fb fb fb fb fb

Lebih 95,000 pengunjung meriahkan jelajah AKM Negeri Sembilan di Jempol

JEMPOL, 9 Oktober- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan menutup tirainya hari ini dengan merekodkan 95,740 pengunjung yang hadir sejak Jumaat.

Pengarah Eksekutif SEPADU Jabatan Perdana Menteri Wan Azilawati Wan Mahmood berkata selaku urus setia induk bagi AKM kali ini, beliau amat berpuas dengan sokongan yang diberikan oleh penduduk di daerah Jempol sepanjang tiga hari program berlangsung.

"Keadaan masih riuh-rendah pada pukul 5.30 petang ini dan masih ramai pengunjung di Jempol serta kawasan sekitar berkunjung pada saat-saat akhir pada jelajah kali ini.

"Alhamdulillah saya telah meninjau tadi di reruai Industri Kecil Sederhana (IKS) pada pukul 3.30 petang ramai usahawan sudah pun mengemas reruai masing-masing kerana jualan habis, jadi itu adalah sesuatu yang amat mengujakan kami sebagai urus setia ," katanya kepada Bernama.

Orang ramai mengambil peluang mengunjungi ruang pameran kementerian-kementerian
yang mengambil bahagian pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat
Negeri Sembilan di Dataran Sri Jempol hari ini / FOTO BERNAMA

Beliau berkata setakat tengah hari tadi, hasil kutipan jualan usahawan ialah sebanyak RM4.5 juta termasuk padanan perniagaan yang berjaya diraih pada siri jelajah kali.

Siri jelajah kesepuluh yang diterajui Kementerian Kesihatan (KKM) bertemakan 'Keluarga Sihat Malaysia Ku Sejahtera’ itu telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik selain lebih 100 reruai usahawan IKS turut dibuka pada program tersebut. -BERNAMA

Media Baharu