KUALA LUMPUR, 2 April - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, dengan kadar agihan kekal seperti tahun sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata jumlah agihan keuntungan itu melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.
"Agihan keuntungan akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH dan juga selepas mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.
"Alhamdulillah, TH masih lagi dapat memberikan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus, sama seperti tahun sebelumnya meskipun negara terus berdepan persekitaran yang mencabar tatkala ekonomi berkembang perlahan serata dunia," katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023 di sini hari ini.
Ujarnya lagi, TH berharap dengan pelunasan zakat tersebut, secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.
"Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.
"TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara pada tahun 2023 melalui Program Zakat Wakalah. TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat ini kepada asnaf.
"Secara keseluruhannya, lebih 1.6 juta asnaf termasuk golongan miskin tegar menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah Tabung Haji," jelasnya lagi.
Katanya, prestasi TH pada tahun 2023 telah didorong oleh pelaburan patuh Syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbang oleh pelaburan ekuiti.
Menurutnya, agihan keuntungan TH 2023 mematuhi Akta Tabung Haji 1995 iaitu dilaksanakan setelah penyata kewangan TH tahun lepas selesai diaudit Jabatan Audit Negara.
Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Mustakim Mohamad.