fb fb fb fb fb

Lebih 9.1 juta dos vaksin COVID-19 telah luput - Dzulkefly

Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Sebanyak 9,159,151 dos vaksin COVID-19 di fasiliti atau gudang simpanan Kementerian Kesihatan (KKM) telah luput sehingga 11 Jun lepas, melibatkan sekitar 10.8% daripada jumlah dos yang didapati secara perolehan dan sumbangan.

Menterinya, Datuk Sri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses pelupusan stok vaksin pelbagai jenama itu juga dilakukan mengikut prosedur ditetapkan Tatacara Pengurusan Aset dan Tatacara Pengurusan Stor.

"Sehingga 11 Jun 2024, sebanyak 9,159,151 dos stok vaksin COVID19 pelbagai jenama telah luput di fasiliti KKM dan gudang simpanan vaksin COVID 19 iaitu sebanyak 10.8% dos luput berbanding dos yang diterima oleh kerajaan.

"Proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan KKM dilaksanakan mengikut Tatacara Pengurusan Aset dan Tatacara Pengurusan Stor yang berkuat kuasa. Pemantauan status pelupusan juga dilaksanakan secara berkala, " katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu jumlah sebenar vaksin COVID-19 terpaksa dilupuskan kerana telah tamat tempoh dan anggaran kerugian ditanggung kerajaan.

Kerajaan Malaysia telah menerima sebanyak 84.5 juta dos vaksin COVID-19 pelbagai jenama daripada sumber perolehan kerajaan dan sumbangan luar sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan secara rasmi pada 24 Februari 2021.

Mengenai kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin COVID-19, Dzulkefly berkata, kesan sampingan biasa yang direkodkan adalah sekitar 368 kes, manakala kesan sampingan serius sebanyak 26 kes antaranya melibatkan kemasukan dalam wad, pemanjangan tempoh di wad serta Myocarditis atau radang otot jantung.

SITI AISHAH MD ISA