fb fb fb fb fb

Lebih 880 projek hijau diluluskan pada 2021

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Sebanyak 882 projek hijau bernilai RM3.66 bilion dan tujuh perkhidmatan hijau bernilai RM21.9 juta telah diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2021.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek-projek tersebut merangkumi pelaburan dalam subsektor penjanaan tenaga boleh baharu, bangunan hijau dan pengurusan sisa.

"Perkembangan pesat sektor teknologi hijau akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang berkualiti tinggi kepada rakyat.

"Hal ini akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar di Malaysia dalam jangka panjang, dan akan menjamin kemakmuran Keluarga Malaysia pada masa hadapan," kata Tuan Ibrahim dalam ucapan secara maya dalam majlis perasmian Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2022 di sini.

(Tuan Ibrahim dalam ucapan secara maya dalam majlis perasmian Pameran dan Persidangan
Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2022)

Menurut beliau lagi, kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif bawah Bajet 2023 bagi memacu pertumbuhan dan pelaburan dalam sektor teknologi hijau.

Antaranya menambah baik Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan penambahbaikan insentif membabitkan sektor kenderaan elektrik (EV) dan sektor sisa.

Kerajaan turut melanjutkan tempoh permohonan insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) hingga 31 Disember 2025 daripada tiga tahun kepada lima tahun bagi aktiviti hijau yang layak.

Selain itu, tempoh pengecualian duti import dan eksais ke atas EV jenis import sepenuhnya (CBU) turut dilanjutkan hingga 31 Disember 2024.

 

Media Baharu