Lebih 800,000 penerima STR, SARA di Sabah terima manfaat RM1.25 bilion

FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Kerajaan terus komited memperkukuh jaringan keselamatan sosial menerusi pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI bagi memastikan tiada rakyat terpinggir di Sabah dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 800,000 penerima STR dan SARA di Sabah terima manfaat dengan peruntukan RM1.25 bilion.
  • Penggunaan SARA bulanan mencatat kadar transaksi tinggi iaitu 98 peratus di Sabah.
  • Peruntukan JKM meningkat kepada RM3.1 bilion, manfaatkan 47,000 penerima Sabah dengan kira-kira RM330 juta.
  • Hampir RM800 juta diperuntukkan untuk Program Bantuan Awal Persekolahan; lebih 500,000 penerima Sabah nikmati hampir RM80 juta.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, lebih 800,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Sabah menerima manfaat dengan peruntukan berjumlah RM1.25 bilion.

“Transaksi penggunaan SARA bulanan mencatatkan sebanyak 98 peratus.

“Bagi keseluruhan negara, kira-kira 1.75 juta penerima SARA melibatkan peruntukan RM175 juta dengan kadar transaksi penggunaan sebanyak 93 peratus.

“Peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula meningkat kepada RM3.1 bilion, memanfaatkan 47,000 penerima di Sabah dengan peruntukan kira-kira RM330 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, hampir RM800 juta turut diperuntukkan bagi Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk menyediakan keperluan asas persekolahan murid.

“Di Sabah sahaja, lebih 500,000 penerima mendapat manfaat dengan peruntukan hampir RM80 juta,” katanya.