
SHAH ALAM, 12 Januari – Suasana persekolahan kembali meriah hari ini apabila lebih 800,000 murid dan pelajar di seluruh negara memulakan sesi persekolahan baharu 2026, melibatkan kemasukan ke tahun satu dan tingkatan satu.
- Fadhlina Sidek menegaskan permulaan penting dalam perjalanan pendidikan murid darjah satu dan pelajar tingkatan satu.
- Sidang media diadakan sempena hari pertama pembukaan sekolah sesi 2026 di SJKC Ladang Regent Elmina, Shah Alam.
- Hadir sama wakil kementerian dan pemimpin negeri termasuk Timbalan Menteri, Speaker DUN Selangor dan Exco negeri.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, lebih 400,000 murid mendaftar tahun satu, manakala kira-kira 400,000 memulakan persekolahan di tingkatan satu.
“Ini adalah anak-anak yang kita sambut pada tahun ini untuk darjah satu dan tingkatan satu dan ia merupakan permulaan penting dalam perjalanan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina, Shah Alam, Selangor.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Lau Weng San serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi.