fb fb fb fb fb

Lebih 800 usahawan sertai Karnival Usahawan Desa

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 November- Lebih 800 usahawan menyertai Karnival Usahawan Desa yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata antara yang menarik, seksyen pelancongan desa yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus mencapai sasaran 1 juta pengunjung ke karnival tersebut.

"Kita juga cuba menunjukkan beberapa inisiatif antaranya pelancongan luar bandar yang dilaksanakan agensi kita seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), yang menunjukkan pelancongan itu merupakan satu sektor yang mempunyai potensi bukan sahaja daripada banyak sudut, dalam masa sama memberikan pengunjung peluang pekerjaan, selain meningkatkan pendapatan luar bandar," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Jelasnya, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan inisiatif kupon yang dilaksanakan pihak kementerian turut mendapat maklum balas yang baik daripada pengunjung.

Karnival tersebut bermula Rabu lalu sehingga esok diadakan di Anjung Floria, Putrajaya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM