fb fb fb fb fb

Lebih 80% permohonan kewarganegaraan diluluskan - Saifuddin Nasution

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Mac- Semua pihak perlu tampil melibatkan diri bagi menangani isu penguasaan warga asing dalam rantaian perbekalan sayuran di negara ini.

Jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ia termasuklah dengan melakukan tindakan yang komprehensif daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ini bukan pendekatan tuding jari. Saya setuju bahawa sampai masanya untuk suatu tindakan menyeluruh membabitkan semua agensi kawal selia untuk melihat perkara ini bukan secara sementara.

"Sebab itu, perlu tengok perkara ini secara menyeluruh tentang penguasaan warga asing dalam sektor ini," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini.

Tambah beliau, satu perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Terdahulu, Fadillah menyatakan isu terbabit perlu ditangani Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Ini kerana usaha untuk menangani isu berkaitan harus dirujuk dengan dua kementerian terbabit.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata lebih 80 peratus daripada 3,903 permohonan kewarganegaraan secara pendaftaran sudah diluluskan.

Beliau berkata semua permohonan bagi kategori anak lahir oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara selesai diproses, setakat 7 Mac lalu.

"Itu adalah permohonan dibawah Perkara 15 (2) secara pendaftaran anak lahir di luar negara oleh ibunya warga Malaysia.

"Kes ini nanti jika apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, kes yang seperti ini anak yang dilahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia mereka akan mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang apabila kita memasukkan perkataan ibu, di dalam Fasal 14(1) b Perlembagaan Persekutuan yang akan kita pinda," katanya.

Tambah beliau, permohonan yang diluluskan itu ialah permohonan yang sudah menerima notis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pengeluaran sijil dan dokumen kewarganegaraan.

Pada majlis tersebut, seramai 35 orang kanak-kanak telah menerima sijil taraf kewarganegaraan.

Bagaimanapun, terdapat permohonan yang ditolak disebabkan tidak lengkap dan menggunakan dokumen palsu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM