KUALA LUMPUR, 3 Disember- Seramai 93,532 penduduk daripada 28,167 keluarga terjejas banjir di lapan negeri setakat pada pukul 9.00 pagi tadi.
Menurut Info Bencana JKM, jumlah itu berkurang berbanding 99,823 penduduk terjejas yang dicatat malam tadi.
Di Kelantan, seramai 57, 055 penduduk daripada 18,109 keluarga terjejas akibat banjir di negeri tersebut setakat pukul 8.39 pagi tadi.
Sebanyak 158 PPS telah dibuka di lapan daerah negeri itu.
"Pasir Mas mencatat jumlah penduduk tertinggi yang terjejas akibat banjir, dengan 28,950 penduduk daripada 9,636 keluarga. Sebanyak 60 PPS telah dibuka di daerah berkenaan.
"Ini diikuti oleh Tumpat dengan 21,082 penduduk daripada 6,542 keluarga, di mana 47 PPS telah dibuka.
"Daerah lain yang turut terjejas ialah Kuala Krai (1,409 penduduk), Bachok (2,687), Kota Bharu (1,031), Pasir Puteh (804), Machang (822), dan Tanah Merah (270)," menurut kenyataan Info Bencana JKM.
Dalam pada itu, di Terengganu, seramai 25,907 penduduk daripada 6,740 keluarga terjejas akibat banjir setakat pukul 8.00 pagi tadi.
Menurut Bencana Operasi APM Terengganu, sebanyak 142 PPS telah diaktifkan di seluruh negeri itu.
Dungun mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai, dengan 7,928 orang daripada 1,959 keluarga.
Ini diikuti Kuala Nerus, di mana seramai 6,781 orang daripada 1,779 keluarga terjejas akibat banjir.
Sementara itu, di Johor, seramai 1,039 orang daripada 298 keluarga terjejas akibat banjir di dua daerah negeri itu, setakat pukul 4.00 pagi tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, 19 PPS telah dibuka di Segamat dan Tangkak.
"Seramai 902 penduduk terjejas berlindung di 17 PPS setakat ini. Jumlah tertinggi direkodkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Spang Loi, Segamat, dengan 202 orang.
"Sebuah PPS telah diaktifkan di Tangkak pada pukul 2.00 pagi tadi, menjadikan jumlah penduduk terjejas di daerah itu seramai 137 orang," menurut kenyataan itu.
Di Kedah, seramai 7,407 penduduk daripada 2,269 keluarga terjejas dengan banjir, setakat pukul 9.00 pagi tadi.
40 PPS telah dibuka di lapan daerah negeri itu.
Sementara, Pahang, 1,854 penduduk terjejas banjir, Perak (640 orang), Melaka (161 orang), dan Perlis (69 orang).