
KANGAR, 18 Februari – Lebih 5,000 pek buah kurma diagihkan kepada 118 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Parlimen Kangar bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan.
- Pengagihan kurma tahunan dijalankan untuk menyemarakkan suasana Ramadan dan berkongsi rezeki dengan komuniti setempat.
- Setiap JPKKP menerima 30 pek kurma untuk diagih melalui Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk.
- Sumbangan kurma hasil infaq juga diedarkan kepada masjid dan agensi kerajaan bagi memperkukuh hubungan komuniti.
Pengagihan kurma ini dilaksanakan setiap tahun sebagai tanda ingatan dan usaha berkongsi rezeki bagi menyemarakkan suasana Ramadan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, sumbangan berkenaan juga bertujuan mengeratkan hubungan antara semua
kepimpinan JPKKP Parlimen Kangar dan penduduk setempat untuk bersama-sama mengimarahkan kehadiran Ramadan.
Jelas beliau, setiap JPKKP menerima sebanyak 30 pek kurma untuk dikongsi bersama jawatankuasa dan komuniti masing-masing menerusi pelaksanaan Majlis Berbuka Puasa.
Dr Fathul Bari menekankan bahawa sumbangan kurma ini adalah hasil infaq daripada pelbagai pihak bagi memastikan rezeki dapat dikongsi bersama dan Ramadan lebih bermakna.
Selain JPKKP, agihan kurma turut dilaksanakan kepada 31 buah masjid seluruh Parlimen Kangar untuk berbuka puasa bersama kariah masing-masing serta 18 agensi kerajaan secara berperingkat.