Lebih 500 anggota polis Selangor bertugas pastikan kelancaran trafik sempena Aidifitri

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Datuk Kahar pada sidang media di Petaling Jaya – Foto RTM

PETALING JAYA, 16 Mac – 542 pegawai dan anggota polis Selangor bertugas bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Selamat dari 19 Mac hingga 24 Mac dan Op Lancar dari 18 Mac hingga 29 Mac digerakkan untuk kelancaran dan keselamatan jalan raya.
  • Larangan kenderaan barang pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac, pesalah dikenakan denda RM300 hingga RM2,000.
  • Kawalan di 23 lokasi strategik, 53 'hotspot' dan 34 'blackspot', kerjasama agensi serta pengedaran topi keledar untuk pemanduan berhemah.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Datuk Kahar, ia melibatkan 41 pegawai dan 501 anggota yang akan ditugaskan sepanjang musim perayaan menerusi Op Selamat bermula 19 Mac (Khamis ini) hingga 24 Mac.

Op Lancar turut digerakkan lebih awal mulai 18 Mac (Rabu ini) hingga 29 Mac bagi mengawal selia titik-titik kesesakan utama di seluruh negeri.

“Operasi ini memfokuskan kepada 23 lokasi strategik di seluruh Selangor dan melibatkan lebih 500 anggota polis serta 70 kereta peronda bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya di 53 lokasi ‘hotspot‘ dan 34 kawasan ‘blackspot‘.”

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 di sini, hari ini.

Selain itu, bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, larangan pemanduan kenderaan barang akan turut dikuatkuasakan pada 19 hingga 20 Mac serta 28 hingga 29 Mac.

“Tujuan larangan ini adalah untuk mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan di jalan raya. Mereka yang gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan denda antara RM300 hingga RM2,000,” katanya.

Polis Selangor turut mengedarkan topi keledar kepada penunggang motosikal dan cenderahati kepada pengguna lebuhraya sebagai penghargaan serta galakan untuk pemanduan berhemah.

Kerjasama dengan agensi seperti JPJ, BOMBA, APM, LLM, dan RELA juga digerakkan bagi memastikan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan dan arahan demi perjalanan yang selamat pulang ke kampung halaman.