
MACHANG, 28 Februari – Lebih 49,000 kes kelewatan pendaftaran sijil kelahiran direkodkan di seluruh negara sejak 2022 hingga pertengahan Februari tahun ini.
- Lebih 49,000 kes kelewatan pendaftaran sijil kelahiran direkodkan sejak 2022 hingga pertengahan Februari tahun ini.
- Faktor utama termasuk bapa dipenjara, ibu bapa berpisah dan perkahwinan tidak didaftarkan.
- Tiada denda bagi kes terpencil; JPN galak kerjasama NGO untuk memastikan dokumen pengenalan diri diperoleh.
Antara faktor dikenal pasti ialah bapa dipenjara, ibu bapa berpisah serta perkahwinan yang tidak didaftarkan.
Secara purata kira-kira 13,000 kes kelewatan daftar sijil kelahiran dikesan setiap tahun di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh sama lebih 20,000 kes kelewatan pendaftaran MyKad turut direkodkan.
“Terdapat ibu bapa memberi alasan kekangan kewangan sebagai punca gagal mendaftar, sedangkan tiada sebarang bayaran dikenakan bagi pendaftaran kelahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Mekar dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Simpul Berlubang, Labok, Machang.
Pada majlis itu, Datuk Seri Saifuddin menyerahkan sijil kelahiran dan MyKad kepada sembilan individu daripada sebuah keluarga berusia antara lima hingga 44 tahun.
Bagi kes terpencil kelewatan daftar sijil kelahiran, tiada sebarang denda dikenakan dan JPN mengalu-alukan kerjasama NGO untuk menyalurkan maklumat berkaitan kes dalam komuniti masing-masing.
Pendekatan itu diharap dapat memastikan setiap rakyat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta mengelakkan mereka tercicir daripada menerima kemudahan asas dan perkhidmatan kerajaan.