PUTRAJAYA, 31 Oktober - Seramai 413,372 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara.
Manakala 127,526 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peperiksaan dimulakan dengan Ujian bertutur Bahasa Melayu yang bermula Isnin 3 hingga 6 November diikuti ujian bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November.
"Pada 17 hingga 19 November calon bakal menduduki ujian Amali Sains dan ujian mendengar bagi kedua Bahasa Melayu dan inggeris pada 20 November.
"Calon SPM akan menduduki peperiksaan bertulis bermula 25 November hingga 23 Disember depan.
"Semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
"Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan," menurut kenyataan itu.
Calon hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM.
KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit seperti influenza.
KPM bersiap siaga dengan langkah sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan.
"Calon yang terlibat bencana dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera. Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara," menurut kenyataan itu.
KPM akan melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.