Lebih 4,000 majikan sertai Dasar Gaji Progresif tahun lalu

Garmbar arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Februari — Kira-kira 4,025 majikan telah menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) sehingga 31 Disember tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan DGP melibatkan lebih 4,000 majikan dan 51,363 pekerja sehingga 31 Disember tahun lalu.
  • Kerajaan akan meneliti panduan pelaksanaan DGP sehingga tamat dasar pada 2027.
  • Matlamat DGP adalah meningkatkan gaji pekerja selari dengan produktiviti dan daya saing ekonomi.

Penyertaan itu melibatkan 51,363 pekerja dan memenuhi syarat kenaikan gaji yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan akan terus meneliti panduan pelaksanaan DGP sehingga tempoh akhir dasar berkenaan pada 2027.

“Jadi tahun ini, insya-Allah saya akan meneliti supaya DGP dapat terus diguna pakai. Kita juga memerlukan kerjasama pihak swasta untuk melaksanakannya dan meneliti supaya gaji pekerja dapat dinaikkan seiring dengan produktiviti yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.

DGP dilaksanakan sebagai sebahagian usaha mereformasikan pasaran buruh negara dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti serta daya saing ekonomi negara.