SRI AMAN, 8 Jun - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Rumah Suyong, Stumbin pada 21 April lalu, ditemukan meninggal dunia, hari ini.
Mayat Sebli Paying, 52 tahun ditemui orang awam kira-kira 11.35 pagi tadi iaitu di laluan ke kawasan kebun mangsa.
Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan semula pada pagi tadi selepas 40 hari operasi ditangguhkan berikutan penemuan baharu melibatkan motosikal mangsa berdekatan di kawasan kebun miliknya.
Operasi mencari turut menggunakan khidmat anjing pengesan dan melibatkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sri Aman yang turut disertai pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APMM) dan penduduk kampung.
Mendiang Sebli dilaporkan hilang ketika keluar rumah untuk mencari rebung di kawasan kebun sekitar pukul 11.40 malam pada 21 April lalu.
Operasi SAR yang dilaksanakan selama seminggu dari tarikh mangsa dilaporkan hilang kemudian ditangguhkan pada 28 April lepas selepas tidak menemui sebarang petunjuk.